global

Gambar-gambar sekitar pertempuran di Marawi

Oleh Reuters

TENTERA Filipina menggunakan helikopter bersenjata dan kenderaan berperisai bagi menggempur militan Maute yang mengganas di Marawai, Mindanao.

Selain ribuan tentera, Filipina juga menghantar 100 anggota pasukan khas, termasuk yang dilatih Amerika Syarikat, ke Marawi yang mempunyai 200,000 penduduk bagi merampas kembali bangunan yang ditawan militan diketuai kumpulan Maute sejak semalam.

Ribuan penduduk melarikan diri meninggalkan rumah dan perkampungan selepas militan merampas sebahagian besar bangunan kerajaan termasuk ada yang dibakar, menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte melaksanakan undang-undang tentera di Mindanao, pulau kedua terbesar Filipina itu.

Sekurang-kurangnya 21 terbunuh sejak semalam, iaitu tujuh anggota tentera, 13 militan dan seorang penduduk.

Marawi terletak di wilayah Lanao del Sur, kubu kuat Maute.

Jurucakap Rejimen Infantri pertama, Jo-Ar Herrera, berkata pihaknya menganggarkan antara 30 hingga 40 militan masih berada di bandar berkenaan, dengan menjadikan puluhan penduduk sebagai tebusan.

“Tentera melakukan operasi yang tepat dan berhati-hati bagi memaksa mereka keluar,” katanya.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap keganasan oleh Maute melalui agensi beritanya, Amaq.

Sekurang-kurangnya dua helikopter bersenjata digunakan dalam operasi itu dengan tentera di darat dibantu kenderaan berperisai.

Tentera menghantar lori dan pikap bagi menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap.

Ratusan penduduk, termasuk kanak-kanak kini berlindung di kem tentera di Marawi.

Militan juga membebaskan 107 banduan dari dua penjara sejak semalam.

Keganasan di Marawi itu tercetus selepas kegagalan operasi tentera menahan ketua kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, di sebuah apartmen di Marawi, membawa kepada pertempuran sengit.

Herrera, pihaknya percaya Isnilon masih berada di bandar itu.

Disiarkan pada: May 25, 2017 @ 6:51pm
d