mutakhir

Hemodialiser kos rendah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PENYELIDIK Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan alat hemodialiser bagi pesakit buah pinggang pertama buatan tempatan berkos rendah yang mengandungi membran berkualiti tinggi.

Alat yang dibangunkan kumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Membrane Termaju UTM bagi fasa pertama itu lebih produktif kerana mempunyai kadar penyucian atau penyulingan darah lebih pantas.

Ketua Projek yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, projek dua tahun itu mempunyai kepantasan mencuci darah 14 liter per minit berbanding produk lain di pasaran iaitu lapan liter per minit.

"Sebagai ahli akademik, ia tanggungjawab kami untuk menghasilkan sebuah hemodialiser berkos rendah yang mempunyai membran berkualiti tinggi.

"Justeru, sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi, UTM bertanggungjawab membangunkan hemodialiser pertama buatan Malaysia," katanya pada sidang media di UTM, Skudai, hari ini.

Dr Ahmad berkata, paling penting pembangunan alat itu mengurangkan 30 peratus kos yang terpaksa ditanggung kerajaan dalam mendapatkan rawatan penyucian darah.

Katanya, dianggarkan terdapat 38,000 pesakit buah pinggang pada tahun lalu dan dijangka purata pesakit baru setiap tahun adalah seramai 5,000 orang.

"Jika dicongak kos rawatan bagi setiap pesakit buah pinggang setahun RM25,000 didarab dengan 38,000 pesakit, kerajaan perlu memperuntukkan kira-kira RM950 juta bagi tujuan itu.

"Tindakan segera diperlukan untuk mengimbangi dan menurunkan kos hemodialiser dengan membangunkan produk-produk penyucian darah bagi pesakit buah pinggang sendiri bermula pembuatan alat hemodialiser," katanya.

Menurutnya, ketika ini dunia perubatan negara bergantung kepada alat yang diimport dari luar negara termasuk Jepun dan Jerman.

"Bagaimanapun kami berjaya membangunkan sistem hemodialisis buatan tempatan untuk penyucian darah menggunakan bahan utama iaitu plastik dengan pembangunan membran hemodialisis berprestasi tinggi," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 12:55pm
d