mutakhir

Maut rempuh belakang pacuan empat roda

Oleh Junaidi Ladjana

PENGAWAL keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti di susur keluar ke jalan utama di Jalan UMS berhampiran Universiti Apartment, dekat Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 8.13 malam itu, Kinny Mark Juareh, 25, meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux berusia 46 tahun berhenti di susur keluar itu untuk memastikan laluan di jalan utama lancar.

"Ketika Toyota Hilux berhenti, tiba-tiba mangsa terlanggar belakang kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HWKKS Likas, untuk rawatan lanjut.

"Pada 9.21 malam, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 3:31pm
d