mutakhir

Pemandu temui mayat lelaki dengan kesan tetakan di kepala

Melaka: Mayat lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui dengan kesan tetakan
di kepala dan kelar di leher dalam kejadian di sebuah kebun buah-buahan di Paya Rumput, pagi semalam.

Mayat mangsa berusia 30-an itu ditemui jam 11 pagi dalam keadaan tertiarap
di bawah timbunan daun.

Saksi kejadian yang juga pemandu kepada pemilik kebun berkenaan yang berusia 40-an berkata,
dia yang tiba di kebun berkenaan untuk mengambil buah markisa hairan kerana panggilannya tidak disambut pekerja yang bekerja di situ.

Katanya, dia ke kebun itu selepas diarah majikan untuk mengambil buah dan dihantar ke kedai di Bukit Beruang.

“Apabila tiada yang menyahut, saya kemudian mengambil buah markisa seperti yang diarahkan sebelum terpandang sesuatu di bawah pokok.

“Berasa hairan dengan objek yang dilihat, saya kemudian mendekatinya sebelum ternampak kaki manusia manakala bahagian badan pula ditimbuni daun,” katanya ditemui di lokasi kejadian petang semalam.

Katanya, terkejut dengan penemuan itu, dia ke balai polis untuk membuat laporan kira-kira jam 4 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan penemuan mayat lelaki warga asing berkenaan.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 6:43am
d