global

Tentera AS bantu Filipina di Marawi

Oleh Reuters

TENTERA Filipina mengesahkan askar Amerika Syarikat berada di Marawi, Mindanao, namun hanya memberi bantuan tinjauan dan perisikan, tidak terbabit dalam pertempuran dengan militan Maute yang sudah lebih tiga minggu.

Jurucakap tentera, Brigadiar Jeneral Restituto Padilla, berkata ada beberapa tentera Amerika yang mengendalikan peralatan bagi menyediakan maklumat mengenai keadaan di Marawi.

“Saya tidak tahu jumlah sebenar serta misi sebenar mereka. Tentera Amerika itu dibenar membawa senjata bagi mempertahankan diri tetapi tidak dibenar berperang,” katanya.

Tentera Amerika itu dari kontinjen Pasukan Khas berpangkalan di Zamboanga.

Sumber Amerika di Washington menyatakan negara itu menyediakan pesawat peninjau P-3 serta dron untuk mengumpul maklumat perisikan. Dron berkenaan bagaimanapun, terhempas Sabtu lalu.

Hari ini, tentera membedil kedudukan militan dengan serangan bom dari udara, tembakan kereta kebal dan roket dari helikopter. Pertempuran bagaimanapun, terhenti pada tengah hari kerana hujan lebat.

Hari ini ada hari ke-23 perang di Marawi dan tiada tanda ia akan berakhir segera. Bandar 200,00 penduduk itu kini kosong namun sehingga 600 penduduk dipercayai masih terperangkap di kawasan pertempuran.

Menurut tentera, 290 terbunuh iaitu 206 militan, 58 tentera dan 26 orang awam. Pihak berkuasa menyatakan ada kira-kira 100 militan masih berada di Marawi.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 6:19pm
d