mutakhir

Tragedi perkelahan Sungai Gumagayo

Oleh Junaidi Ladjana

PELAJAR lelaki tingkatan empat ditemui lemas di Sungai Gumagayo, Kampung Tangkol, Kota Marudu, jam 1.20 tengah hari ini.

Mangsa Wendley Recnoli, 16, lemas ketika mandi di sungai berkenaan dan ditemui penduduk kampung sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama sekumpulan guru dan pelajar sedang berkelah di kawasan berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Johny Yap berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.24 tengah hari dan sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 35 kilometer dari balai.

"Sebaik tiba, mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung yang membantu mencari mangsa.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Johny, operasi tamat jam 3.50 petang.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 8:30pm
d