mutakhir

72 saman hari pertama Op HRA

Kuantan: Sebanyak 72 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memeriksa 875 kenderaan pada hari pertama Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2017 di negeri ini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, daripada 875 kenderaan diperiksa 43 kenderaan diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan kebanyakannya membabitkan lesen memandu serta cukai jalan manakala sebuah motosikal disita.

“Operasi diadakan di empat lokasi serentak iaitu di Pahang Timur (Jalan Teluk Sisek, Kuantan), Pahang Tenggara (Muadzam Shah), Pahang Tengah (Temerloh) dan Pahang Barat (Raub),” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Beliau berkata, daripada jumlah saman dikeluarkan, 54 membabitkan penunggang motosikal dan 18 pemandu kereta.

“Dalam operasi ini Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut melakukan 22 pemeriksaan dan empat daripadanya termasuk seorang remaja berusia 16 tahun positif methamphetamine,” katanya.

Wan Ahmad Uzir berkata, Op HRA 2017 memberi fokus kepada motosikal memandangkan pengguna kenderaan itu menjadi penyumbang utama kemalangan.

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 8:44am
d