global

Korea Utara berdegil

Oleh Reuters

Seoul: Korea Utara semalam memberitahu peluru berpandu balistik rentas benua (ICBM) yang baru dibangunkan negara itu mampu membawa peledak nuklear yang besar.

Agensi berita KCNA memetik pemimpin negara itu, Kim Jong Un sebagai berkata, ujian itu melengkapkan kemampuan persenjataan strategik Pyongyang yang termasuk bom atom, hidrogen dan ICBM.

Jong Un juga dilaporkan berkata, Pyongyang tidak akan berunding dengan AS bagi melepaskan senjata itu sehinggalah Washington meninggalkan dasar permusuhan terhadap Korea Utara.

“Dia (Jong Un) dengan senyum di wajah memberitahu pegawai, saintis dan juruteknik bahawa AS pasti tidak gembira. Ia adalah hadiah untuk Hari Kemerdekaan AS.

“Jong Un mengarahkan mereka supaya sering menghantar hadiah besar dan kecil kepada AS,” lapor KCNA, yang dimiliki Korea Utara itu.

Ujian itu diadakan kelmarin, beberapa hari sebelum pemimpin negara Kumpulan 20 membincangkan langkah mengekang program senjata Korea Utara.

Pelancaran itu juga melanggar sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut KCNA, kejayaan ujian itu melengkapkan keperluan teknikal ICBM terbaru dalam peringkat pemisahan, kemasukan semula peledak ke atmosfera dan peringkat kawalan akhir peledak.

Agensi berita rasmi Korea Utara itu memberitahu, peluru berpandu, Hwasong-14 terbang sejauh 933 kilometer dan mencapai altitud 2,802 kilometer dalam penerbangan selama 39 minit.

Beberapa penganalisis berpendapat, ciri penerbangan menunjukkan peluru berpandu baru itu mempunyai jarak lebih 8,000 kilometer yang membolehkannya menjejaki AS, satu kejayaan terbesar program senjata Pyongyang.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 10:27am
d