mutakhir

Polis cekup dua lelaki, rampas dadah RM12,150 [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Polis menahan dua lelaki dipercayai penagih dan pengedar dadah di sekitar Krubong, di sini, dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,150.

Tangkapan itu dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Krubong, di sini.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dua suspek terbabit ditahan di belakang rumah yang dikepung kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu.

“Kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun. Pemeriksaan badan suspek pertama berusia 27 tahun menemui satu sampul duit dalam genggaman tangan kanan yang berisi sepaket lut sinar berisi bahan dipercayai heroin dengan berat kasar 33 gram, manakala pemeriksaan ke atas suspek berusia 28 tahun tidak menjumpai barang salah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas rumah tidak bernombor itu menemukan sepaket plastik timah dipercayai heroin (230 gram), empat paket plastik lutsinar dipercayai heroin (125 gram), sepaket plastik lutsinar mengandungi 100 pil bercop WY (pil YABA) disyaki mengandungi dadah.

Turut ditemui, sepaket lut sinar dipercayai syabu (15 gram), satu dompet berwarna coklat serta satu kad pengenalan atas nama suspek,” kata Abdul Jalil, dalam sidang media di IPK Bukit Beruang.

Disiarkan pada: July 8, 2017 @ 6:47am
d