mutakhir

7 PATI ditahan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua tekong darat dalam Ops Gelora Khas di Hutan Pesisir Pantai Kelapa Mawai, Bandar Penawar, Kota Tinggi, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua PATI berusia 22 hingga 49 tahun ditahan pada 9.30 malam.

"Dalam serbuan oleh anggota bot ronda RH 32, tujuh individu warga Indonesia termasuk dua tekong darat ditahan di lokasi terbabit.

"Semua mereka mengaku mahu pulang ke Indonesia dengan menggunakan bot pancung," katanya dalam kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Katanya, semua ditangkap kerana kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.

Mereka juga berdepan tindakan mengikut Seksyen 26 A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 10:08am
d