mutakhir

Mana ada harga terlampau murah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Alor Setar mendakwa tertekan apabila ramai pelanggan yang datang merungut harga ikan tidak semurah seperti yang tular di Facebook.

Peniaga mendakwa, harga ikan yang dijual setiap hari tidak menentu dan jika hasil tangkapan banyak, harga atau hasil tangkapan lain seperti udang, sotong dan ketam dijual lebih murah dan jika ia berkurangan, mungkin ia meningkat.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 41, berkata, mereka sendiri tidak tahu siapa yang tular harga ikan di situ terlampau murah sehinggakan ada yang mendakwa harganya empat atau lima kilogram (kg) dijual RM10.

Katanya, harga bergantung pada saiz ikan dan bukannya seperti yang ditular malah ada pelanggan yang datang marah kerana harga dijual tidak sama.

"Akibatnya ramai peniaga tertekan disoal pelanggan tetapi kami maklumkan perkara sebenar kerana adakalanya ikan banyak dan jika ikan kurang, kami terpaksa menjual hasil tangkapan semalam serta bukannya selalu kami jual ikan segar setiap hari.

"Saya berharap supaya pelanggan faham keadaan sebenar dan jangan percayakan sangat pada khabar angin terutamanya di laman sosial," katanya ketika ditemui hari ini.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 5:16pm
d