mutakhir

Cedera dirempuh penagih

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

ANGGOTA penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, cedera di tangan selepas dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu penagih dadah di ladang sawit di Batu 6 Lekir, Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, anggota berusia 36 tahun itu cedera ketika menghalang pengedar terbabit daripada meloloskan diri dari lokasi berkenaan.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata, kejadian itu berlaku dalam serbuan yang dijalankan pihaknya melalui Op Cegah Perangi Dadah 2.0 di sekitar daerah ini.

Katanya, walaupun cuba merempuh anggota AADK yang melakukan serbuan di lokasi berkenaan namun suspek berusia 25 tahun itu berjaya ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan di dalam Perodua Kancil dinaiki suspek tidak menemui dadah namun ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

Khairul Anwar berkata, antara lokasi yang dijadikan 'port' penagihan dadah membabitkan kawasan Lekir dan Beruas, Taman Samudera, Sitiawan dan pihaknya turut menjalankan sekatan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Sitiawan-Lumut bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Dalam operasi yang dijalankan bermula 8 malam tadi, seramai 21 individu diperiksa dan 14 daripada mereka didapati positif pelbagai dadah.

"Semua yang ditahan membabitkan dua wanita dan 12 lelaki berusia antara 22 hingga 56 tahun dan mereka akan dibawa ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Batu Kurau untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat AADK Cawangan Manjung di Seri Manjung, hari ini.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 2:12pm
d