mutakhir

Masuk Baitulmaqdis

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Rombongan ziarah Masjid al-Aqsa daripada Yayasan Al Amin sudah melepasi sempadan Jordan-Israel, semalam melalui Jambatan Raja Hussein yang menyeberangi Sungai Jordan.

Petugas yayasan berkenaan yang juga penunjuk arah Ustaz Ahmad Fikri Akmal, 34, berkata rombongan terdiri daripada 18 jemaah dan dua petugas Yayasan Al Amin itu sampai di sempadan kira-kira jam 10 pagi menaiki bas R.U.M Tourist Transportation.

Terdahulu, katanya, mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman jam 4.24 pagi waktu tempatan sebelum bersarapan di Restoran Abu Zagleh.

“Alhamdulillah, urusan di pintu sempadan antara Jordan dan Israel lancar. Tidak sampai 30 minit semua jemaah sudah dapat melepasi sempadan.

“Kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti makan tengah hari di Jericho. Perjalanan seterusnya 40 minit ke Jerusalem (Baitulmaqdis) dan kami tiba di bandar itu jam 1.45 tengah hari waktu tempatan (terkini jam 6.45 petang waktu Malaysia),” katanya, semalam.

Beliau yang berpengalaman membawa jemaah ziarah Masjid Al-Aqsa sebanyak tiga kali berkata, seperti sebelum ini pihak tentera Israel yang mengawal sempadan melakukan pemeriksaan termasuk pasport, beg dan badan.

Menurutnya, pihak tentera berkenaan turut menggunakan alat pengesan logam ketika pemeriksaan itu sebelum memberikan kebenaran jemaah melepasi sempadan.

Sempena Aidiladha September depan, Yayasan Al Amin juga melaksanakan program ibadah korban di Palestin dengan menawarkan kadar RM1,900 untuk satu bahagian.

Daging ini akan diuruskan oleh Yayasan Al Amin dan agihan akan dibuat kepada pelarian Palestin yang memerlukan. Bagi yang berminat, untuk keterangan lanjut, boleh melayari laman web www.yayasanalamin.com.

Disiarkan pada: July 26, 2017 @ 6:08am
d