mutakhir

Dua asrama maahad tahfiz hangus

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

DUA unit asrama penginapan Maahad Tahfiz Al Baraqah, Sepang musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.42 pagi di Jalan Besar Salak itu, dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki terbakar 100 peratus manakala, sebuah bangunan pejabat bersebelahan pula terbakar 30 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Khairuddin Jamaludin berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Ketika kejadian, kesemua pelajar sedang tidur dan kebakaran disedari oleh seorang warden asrama yang kemudian mengejutkan kesemua pelajar untuk menyelamatkan diri.

Katanya, seramai 25 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kebakaran bersama dua jentera dan api berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam sebelum operasi pemadaman ditamatkan kira-kira jam 8 pagi ini.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 12:16pm
d