mutakhir

Tiga individu dicekup SPRM

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada tahun 2014.

Menurut sumber, dua daripada mereka adalah pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Kedua-duanya yang masing-masing berusia 47 dan 51 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9 pagi hari ini apabila hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Manakala seorang lagi yang ditahan di pejabat SPRM Kuching pada jam 1.30 tengah hari adalah pengarah syarikat berusia 57 tahun yang memiliki hotel itu.

"Siasatan awal mendapati pengarah syarikat terbabit melantik syarikat ejen berkenaan untuk menguruskan pembelian hotel itu," tambah sumber lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata dua pengarah syarikat ejen sudah direman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos di Mahkamah Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, seorang lagi suspek dijangka akan direman pagi esok di Mahkamah Putrajaya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 4:23pm
d