mutakhir

Lelaki Bangladesh ditemui rentung

Oleh Farah Suhaidah Othman

LELAKI Bangladesh ditemui rentung dalam kebakaran di rumah kongsi di tapak pembinaan Batu Dua, Jalan Bidor - Tapah di Bidor, pagi ini.

Ketua Operasi Penolong Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Ridzuan Bahida Baharuddin berkata, enam pegawai dan anggota dari BBP Bidor ke lokasi kejadian bersama bantuan dari BBP Tapah sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.45 pagi.

Katanya, setiba di lokasi, anggota mendapati kawasan rumah kongsi yang mempunyai 126 bilik terbakar hampir 75 peratus.

"Ketika pemadaman dijalankan, seorang daripada pekerja Bangladesh memaklumkan rakannya tidak dijumpai.

"Kira-kira 5.45 pagi, ketika anggota bomba membuat pemeriksaan baik pulih di kawasan berkenaan, seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah bilik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Bomba masih menjalankan pemeriksaan baik pulih bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan tiada mangsa lain terbabit.

"Operasi pemantauan masih dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 11:22am
d