mutakhir

Gempar kedai jual barang plastik berapi

Klang: Suasana di Jalan Tangkak, di sini, gempar apabila sebuah kedai menjual barangan plastik musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam, tindakan pantas bomba bagaimanapun berjaya mengawal api daripada merebak ke deretan premis berdekatan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kedai itu tidak beroperasi dan tiada pekerja.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Pelabuhan Klang dikerah dalam operasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lot rumah kedai didapati marak terbakar terutama di tingkat bawah membabitkan 90 peratus kebakaran,” katanya.

Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran yang dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 10 malam.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh bagaimanapun mendapati tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Samsol berkata, pihaknya masih menyiasat anggaran jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 5:42am
d