arena

Maafkan saya....[METROTV]

Oleh Haika Khazi dan Fabian Peter

PEMENANG pingat emas Olimpik 2016 Joseph Schooling dari Singapura, memohon maaf dengan kenyataannya "mengajar Malaysia satu dua perkara" menjelang Sukan SEA, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.

Schooling, 22, berkata beliau memohon maaf jika kata-katanya sebelum ini mengguris hati dan menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

"Saya minta maaf walaupun saya tidak bermaksud menyakitkan hati sesiapa pun. Saya mahu melupakan peristiwa itu dan tujuan utama saya datang ke sini untuk menyertai acara renang di KL2017.

"Saya adalah salah seorang kapten, jadi tujuan saya ke sini melakukan yang terbaik untuk pasukan renang Singapura tanpa bimbang dengan sebarang kenyataan negatif atau kemungkinan diejek penyokong Malaysia," katanya ketika ditemui di KLIA.

Ketibaan Schooling turut disambut ibunya May Schooling yang berasal dari Ipoh, Perak.

Schooling yang menang emas acara 100 meter kuak kupu-kupu di Sukan Olimpik Rio, pada tahun lalu dan dijangka bertanding dalam enam acara di KL2017 dengan acara pertama ialah 50 meter di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, Isnin ini.

Pada Sukan SEA lalu, Schooling menang menghadiahkan sembilan pingat emas kepada negara kelahirannya Singapura.

Dalam pada itu, Schooling mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menggesa rakyat Malaysia supaya jangan mengejeknya berikutan kenyataannya sebelum ini.

Sementara itu, Schooling berharap beliau akan menyapu bersih enam pingat emas dalam acara renang ditandinginya di KL2017.

"Biarpun menang emas di Rio tahun lalu saya tidak anggap Sukan SEA ini hanya sebagai medan latihan kerana seperti pesanan bapa setiap kejohanan saya mesti buat yang terbaik dan berenang selaju mungkin.

"Ini penting kerana ramai atlet renang terbaik termasuk dari Malaysia, Vietnam dan Indonesia menyertai acara renang di Sukan SEA kali ini," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 11:02pm
d