utama

8,222 pendaki cipta rekod baru dunia

Oleh Mohd Amin Jalil

EKSPEDISI Menuju Puncak 2017 di Gunung Angsi, Kuala Pilah hari ini mencipta rekod baru dunia apabila pendakian setinggi 825 meter itu disertai 8,222 pendaki membabitkan golongan muda.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Baharudin Jali berkata, ekspedisi itu memecahkan rekod The Longest Chain of People Clasping Wrist yang dicipta di Pakistan pada 29 September tahun lalu membabitkan 2,950 peserta.

Katanya, ia sekaligus tercatat dalam Malaysia Book of Record (MBOR) dan ekspedisi bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60.

"Program ini bermula seawal 8 pagi apabila seramai 4,222 sukarelawan mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Mereka kemudian bergabung dengan 4,000 sukarelawan lain dan mendaki gunung terbabit secara berpegangan tangan," katanya.

Program dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaluddin Said, barisan Exco dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 4:21pm
d