hati

Tampil rekaan kegemaran wanita

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ilham daripada kaca mata pereka lelaki ternyata memberikan kelainan dalam penghasilan rekaan. Selain melihat keindahan daripada sudut berbeza, bagi pengasas JubahSouq, Mohammad Zaki Muhammad Amin setiap busana ditampilkan adalah berdasarkan potongan kegemaran wanita dengan mengambil kira keselesaannya.

Untuk itu, sejak mula diperkenalkan empat tahun lalu Mohammad Zaki sentiasa mengambil kira kehendak pelanggan dan menghasilkan rekaan mengikut apa yang diminati mereka. Tampil dengan jubah, gaun dan baju kurung kebanyakannya menggunakan fabrik berkualiti seperti sifon, crepe, renda dan satin yang tidak melekat pada tubuh, tidak jarang serta beralun cantik apabila digayakan.

Bersempena Aidiladha ini, JubahSouq memperkenalkan rekaan kurung eksklusif iaitu Fashanda Kurung pada warna hitam dan merah cili yang tentunya antara rekaan yang akan menjadi idaman wanita. Keistimewaan kurung ini pada fabrik sifon yang diberikan potongan kembang pada bahagian bawah baju.

“Teknik sebegini sesuai untuk wanita bertubuh langsing atau besar kerana potongan kembang mampu menutupi kekurangan tubuh. Kain yang dijahit berbentuk A pula menjadikan wanita kekal anggun dengan gaya tersendiri,” katanya yang turut mengetengahkan fabrik bercorak pucci.

Bagi penggemar gaun pula, mereka boleh memilih potongan bertingkat yang memberikan ilusi langsing kepada pemakai. Hadir dalam rona terang seperti merah hati dan warna pastel rekaan sebegini turut mendapat tempat kerana kebanyakan wanita sememangnya inginkan kelainan dalam penggayaan mereka. Gaun kembang menggunakan fabrik sifon pula diperindahkan menerusi perincian fabrik berbeza pada bahagian bawah.

“Idea menghasilkan potongan sebegini disebabkan cita rasa wanita muda yang ingin bergaya ala puteri. Dengan mengetengahkan konsep sopan namun diperindahkan dengan ilusi moden ia ternyata menyuntik kelainan dalam rekaan kali ini,” katanya.

Bukan hanya menyasarkan kepada rekaan untuk musim perayaan saja, koleksi JubahSouq juga dipelbagaikan dengan rekaan kasual sesuai digayakan ke pejabat. Namun potongan ringkas menggunakan fabrik polos menjadikan rekaan ini tampil sederhana dan bersahaja.

“Walaupun ia kelihatan seperti dua padanan, saya menghasilkan dengan potongan jaket supaya memberikan ilusi berbeza. Hadir dalam rona asas putih dan hitam sudah pasti himpunan ini mempunyai peminat tersendiri,” katanya.

Semua koleksi Aidilfitri JubahSouq boleh dimiliki menerusi pembelian dalam talian atau berkunjung ke butik JubahSouq di Bangi Sentral, Shah Alam, bangunan Busana Kuala Lumpur, Gio Mall Kuantan, Modvier Bangsar, Gondola Ipoh dan Johor Bahru.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 10:41am
d