utama

'Negaraku Sehati Sejiwa'

Oleh BERNAMA

ORANG ramai pelbagai kaum dan usia berduyun-duyun memenuhi Dataran Merdeka untuk bersama barisan kepimpinan negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017, hari ini.

Mereka berada di Dataran Merdeka sejak kira-kira 6 pagi.

Menggunakan MRT, LRT, monorail dan bas, orang ramai termasuk pelancong berpusu-pusu bergerak ke dataran yang bertukar wajah menjadi ‘Stadium Merdeka’.

Sambil mengibarkan Jalur Gemilang, riak ceria dan teruja jelas terpancar pada wajah mereka.

Malah, ramai juga yang bangga mengenakan pakaian bercorak ‘Jalur Gemilang’, membanjiri persekitaran Dataran Merdeka, terutamanya di Jalan Raja Laut, yang menyediakan tempat duduk bertingkat dan skrin gergasi LED yang memaparkan setiap pergerakan acara persembahan.

Pasukan pancaragam terbesar yang dianggotai 11 agensi keselamatan dan penguat kuasa negara memulakan persembahan menghiburkan warga Malaysia seawal 7 pagi.

Pasukan pancaragam Victoria Institution pula mengadakan persembahan sisipan di hadapan Menara DBKL.

Cuaca cerah dan tenang memudahkan pergerakan orang ramai serta hampir 18,000 peserta yang terbabit dalam acara sambutan Hari Kebangsaan kali ini bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian Negaraku serentak dengan tembakan meriam 14 das.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula melaungkan 'Merdeka' tujuh kali, mengimbas detik bersejarah dilakukan Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 9:39am
d