utama

200 waris Tok Esah berkumpul

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Hari Kebangsaan 2017 negara disambut meriah, kelmarin bagi seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mantan Exco Negeri Terengganu yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Ahmad Sidi Ismail, sambutan hari bersejarah itu bermakna buat dirinya apabila dapat bersama dalam perhimpunan keluarga di pekarangan rumah arwah ibunya, Esah Ahmad di Kampung Sungai Petai, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Ahmad Sidi, 75, berkata, Perhimpunan Keluarga Tok Esah diambil sempena nama arwah ibu berakhir jam 6 petang dengan kehadiran lebih 200 ahli keluarga jauh dan dekat.

Pelbagai acara diadakan bagi memastikan program berkenaan, antaranya futsal padang, sukaneka untuk kanak-kanak, kukur kelapa untuk kaum wanita dan diakhiri acara tarik tali.

“Saya gembira dengan apa yang saya lihat hari ini dan berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan keluarga.

“Sebenarnya sudah lama kami rancang mengadakan program ini, tetapi kesibukan tugas dan ada yang tinggal di luar Terengganu menyebabkan sukar untuk mencari tarikh sesuai sebelum bersetuju memilih cuti hari merdeka,” katanya yang kini memegang jawatan Yang DiPertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu (MUBARAK).

Turut bersama adiknya, bekas Pengarah Tanah dan Galian Terengganu Datuk Mukhtar Ismail, 67.

Menurutnya, program julung kali itu juga sebagai menghargai pengorbanan arwah ibu membesarkan mereka selepas kematian bapa.

“Arwah ibu bidan kampung yang diiktiraf kerajaan, dia sangat cekal dan sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kejayaan masa depan anak-anaknya.

“Menerusi perhimpunan ini, semoga kecekalannya itu menjadi iktibar dan teladan khususnya kepada anak cucu kami,” katanya.

Perhimpunan keluarga itu diakhiri dengan majlis tahlil untuk arwah ibu dan bapa serta sanak-saudara yang sudah meninggal dunia termasuk abangnya yang berlainan bapa, Allahyarham Datuk Alias Ali yang juga mantan Timbalan Menteri Perusahaan Utama.

Disiarkan pada: September 2, 2017 @ 9:52am
d