mutakhir

Terkejut bangun solat

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: “Saya ketika itu bangun nak solat Subuh namun terkejut apabila melihat air masuk rumah kerana kebiasaan kalau hujan lebat, air hanya di luar saja, tetapi kali ini memasuki rumah sedalam 0.5 meter,” kata mangsa banjir kilat, Azizah Saad, 70, dari Kampung Bukit Tok Kaya, Pulai, di sini, apabila rumahnya dimasuki air pada jam 6 pagi semalam.

Akibat banjir itu, dia tidak dapat menyertai ibadat korban bersama penduduk.

Azizah berkata, dalam kegembiraan menyambut Aidiladha, dia tidak sangka kejadian itu berlaku sehingga beraya dalam banjir.

“Semua barangan rosak tidak dapat diselamatkan kerana air masuk dengan cepat.

“Saya juga tidak dapat menunaikan solat sunat Aidiladha kerana terpaksa mengemas di dalam rumah,” katanya.

Hujan lebat kira-kira dua jam sejak awal pagi menyebabkan sembilan rumah di Kampung Bukit Tok Kaya dilanda banjir kilat.

Jirannya, Salmah Awang, 52, berkata, dia yang terjaga daripada tidur ke bilik air namun sebaik membuka pintu, dia melihat air bertakung di luar rumah namun tidak mengendahkannya.

“Namun setengah jam kemudian ketika sedang berkemas di dapur, saya terkejut melihat air masuk ke dalam rumah dan terus mengalihkan barang ke tempat tinggi.

“Mujur air hanya masuk sedikit sahaja di kawasan dapur walaupun tikar turut rosak,” katanya.

Penghulu Mukim Pulai Badrul Hisham Che Li berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan air mulai naik di kawasan kampung terbabit kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, hanya sembilan rumah dilanda banjir kilat.

“Kita meminta mangsa yang terbabit membuat laporan polis untuk memudahkan bantuan segera disampaikan.

“Anggota penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Briged Bencana Parlimen Baling sedang memantau bagi membantu mangsa,” katanya ketika melawat mangsa banjir, semalam.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Baling dan Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling turut menyalurkan bantuan segera barangan makanan kepada mangsa terbabit.

Disiarkan pada: September 2, 2017 @ 10:18am
d