mutakhir

14 PATI ditahan

Oleh Zaid Salim

EMPAT belas pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu dalam serbuan Ops Ikrar di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, hari ini.

Kesemua PATI lelaki berusia antara 19 hingga 45 tahun terbabit ditahan di kawasan tapak pembinaan dan rumah kongsi di Chendering, Kuala Terengganu dan Kampung Tok Randok di Hulu Terengganu.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Malik Zaliman Deraman dibantu seramai 13 pegawai dan anggota itu bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Pengarah JIM Terengganu, Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, semua PATI masing-masing lima orang warga Indonesia dan Bangladesh dan empat dari Myanmar ditahan kerana pelbagai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Sembilan daripada mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, seorang lagi ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan empat lagi melakukan kesalahan melanggar syarat pas disiasat mengikut Peraturan 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 8:59pm
d