utama

5 saat ragut RM100,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Terleka hanya lima saat namun kerugian ditanggung lebih RM100,000. Itu nasib dialami seorang wanita yang menjadi mangsa ragut ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang suspek lelaki tiba-tiba muncul mendekati meja makan mangsa sebelum merampas beg tangan mangsa diletakkan di kerusi bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek sebelum itu dikesan keluar dari sebuah kenderaan di laluan berhampiran premis itu.

“Suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

“Kejadian ragut itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM117,630.

“Menurut keterangan mangsa, wang berkenaan adalah pinjaman daripada saudara-mara dan milik diri sendiri. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan di sini, sejurus kejadian,” katanya.

Megat berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum menahan lapan lelaki termasuk dua lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan.

“Semua suspek ditahan di sekitar Seri Kembangan, di sini, Isnin lalu.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, enam lelaki tempatan terbabit dilepaskan dengan jaminan polis, manakala dua lelaki warga Indonesia itu direman hingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan yang menunjukkan seorang lelaki keluar dari kereta model Perodua Myvi berwarna perak dan merampas beg milik wanita itu yang diletakkan di atas kerusi di sebelah tempat duduknya.

“Lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam kereta sebelum melarikan diri. Terdapat sebuah lagi kereta jenis sama berwarna kuning kelihatan mengekori kenderaan dinaiki suspek,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 5:54am
d