mutakhir

Terima 13 pelajar Saudi

Oleh Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Bangi: Program Asasi Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat julung kalinya menerima seramai 13 pelajar dari Arab Saudi.

Pengarah Pusat Permata Pintar Negara, Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berkata, UKM mengambil masa sebulan memilih pelajar untuk menyertai program ini.

“Tempoh itu bagi menentukan pelajar yang layak menyambung pelajaran di sini.

“Pelajar berkenaan akan mengikuti program asasi terlebih dulu sebelum mengikuti program di Fakulti Perubatan,” katanya yang ditemui selepas program itu semalam.

Pelajar, Abdullah Fahad Moaka, 18, berkata, dia bangga dan teruja untuk meneruskan pelajaran di sini.

“Saya rasa sangat bertuah mendapat peluang ini dan tidak sabar untuk memulakan pelajaran,” katanya.

Rakannya, Mohammed Khalid Alruwaili, 19, berkata program itu secara tidak langsung akan membantu kehidupannya kelak.

“UKM adalah salah satu universiti terbaik dan berprestij di negara ini, jadi secara tidak langsung perkara ini akan membantu kami pada masa hadapan.

“Kami berasa berbesar hati dipilih untuk melanjutkan pelajaran di sini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 5:14am
d