hati

Ringkas dengan tudung segera

Oleh Siti Zarinah Sahib

Walaupun selendang menguasai pasaran, tudung bersengkuap masih mempunyai peminatnya sendiri. Selain mudah dipakai, hanya sarungkan sahaja, rekaan tudung ini boleh digayakan sama ada ke pejabat atau acara keraian.

Bagi Pengasas D Narz Eksklusif, Norasikien Zulkefli, sejak 2007 dia mula mengeluarkan tudung bersengkuap polos Dewi Saffiya selepas mendapati kebanyakan wanita inginkan gaya ringkas ke tempat kerja. Sambutan yang diberikan menyebabkan wanita ini kemudian menambah rekaan tudung dua dan tiga lapis menggunakan fabrik sifon dan lycra.

Kombinasi warna pilihan yang serasi dan diadun cantik menerusi corak yang sederhana menjadikan setiap helaian tampil menawan dan ringkas. Selain bercorak dia juga mengeluarkan tudung polos dengan 60 warna.

“Walaupun rekaan tudung bersengkuap nampak ringkas dan mudah, namun daya tarikannya terletak pada pemilihan fabrik kerana saya memberikan fokus pada fabrik bermutu dan cantik seperti sifon, kapas dan lycra. Paling penting ia sesuai dipakai dalam keadaan cuaca panas di Malaysia,” katanya.

Selain tudung segera, keterujaan pelanggan kepada bawal satin menyebabkan Norasikien turut mengeluarkan rekaan ini namun dalam kuantiti yang terhad. Ini kerana walaupun bawal satin nampak cantik dan eksklusif namun fabrik ini susah dijaga kerana tidak mesra pin.

“Apa yang menjadi kesukaran apabila ia meninggalkan kesan selepas dipin. Namun saya masih mengeluarkan koleksi ini disebabkan ramai yang ingin memilikinya,” katanya yang mempunyai butik di Air Keroh, Melaka dan Kluang, Johor.

Untuk bawal satin, rekaan berasaskan rona pastel seperti krim, merah jambu dan biru cair tampak eksklusif berbanding rona terang. Malah, apa yang membuatkan tudung lebih menyerlah adalah lakaran corak pada bahagian tertentu.

Selain penjualan di butik, semua koleksi tudung boleh dibeli menerusi dalam talian. Harga bermula RM69 ke atas. Tudung D Narz turut mengeluarkan busana seperti jubah dan baju kurung Pahang dengan potongan klasik.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 8:51am
d