mutakhir

Lebih 60,000 dah dilatih

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah melatih lebih 60,000 anggota dan pegawai dengan memberikan pelbagai kursus serta latihan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pelbagai kursus diberikan termasuk berkaitan undang-undang umum dan peraturan dalam pilihan raya.

Menurutnya, persediaan ini turut membabitkan unit khas seperti Pasukan Anti Rusuhan (PORU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Persiapan PRU-14 semakin rancak membabitkan peringkat Bukit Aman, Kontijen dan Daerah. Malah, setiap dua minggu, kami bermesyuarat dengan pegawai dari semua kontinjen menerusi persidangan video bagi mengemaskini persiapan yang sudah dijalankan di semua peringkat.

"Kita akan buat lebih banyak latihan kerana ketika ini dalam proses memuktamadkan tugas anggota dan pegawai terbabit," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Krisis dan Rundingan Krisis di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Kajang.

Zulkifli berkata, selepas penempatan tugas anggota dan pegawai ditetapkan, latihan dan kursus akan digandakan bagi membolehkan mereka memahami tugas serta peranan mereka.

"Kita mahu anggota dan pegawai yang terbabit dlm PRU-14 berpengetahuan serta cekap.

"Kita juga akan tambah anggota dan pegawai yang terbabit dalam PRU-14. Kita akan terus membuat persediaan dan meningkatkan kecekapan polis dan persiapan yang dibuat menunjukkan kesiapsiagaan kami," katanya.

Katanya, polis juga akan membuat latihan ketenteraman awam membabitkan semua pasukan dalam PDRM dan latihan bersepadu dengan agensi keselamatan berkaitan sebagai persediaan dalam menangani isu ketenteraman awam.

Seramai 40 pegawai kanan terbabit dalam kurus pengurusan krisis dan 24 pegawai kanan menyertai kursus rundingan yang diadakan di PGA Semenyih.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 6:35pm
d