mutakhir

AR tingkat kreativiti

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Bangi: Projek Memperkasa Kemahiran Abad ke-21 Pelajar Melalui Augmented Reality (AR) membolehkan pensyarah kanan Jabatan Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fariza Khalid dinobatkan sebagai juara Hari Inovasi 2017 Fakulti Pendidikan UKM bagi kategori e-Inovasi Penyelidikan (Pensyarah Fakulti Pendidikan).

Beliau menerapkan AR dalam kajian terhadap pelajar bagi meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif yang seterusnya memberi keberkesanan terhadap nilai aktiviti yang mewujudkan pemikiran kritis dan kritikal pelajar.

Dr Fariza berkata, hasrat di sebalik projek AR untuk pelajarnya bagi meningkatkan kemahiran abad ke-21 yang meliputi 4C (komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal).

“Kemahiran ini adalah asas yang boleh membantu penghasilan kualiti pelajar dengan lebih baik, bukan setakat pencapaian akademik berteraskan skor dalam peperiksaan semata-mata.

“Pelajar diminta untuk hasilkan sendiri bahan AR yang membolehkan pelajar untuk menentukan hala tuju pembelajaran mereka sendiri dan bukan sekadar bergantung kepada bahan yang dihasilkan pensyarah,” katanya.

Katanya, pembabitan dalam penghasilan projek AR ini bukan setakat membantu menajamkan kemahiran kolaborasi dan komunikasi tetapi juga pemikiran aras tinggi.

Menurut Dr Fariza, skor markah diambil kira tetapi beliau cuba menekankan kemahiran 4C bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Naib juara disandang pensyarah Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM Prof Madya Dr Manisah Mohd Ali manakala pensyarah Jabatan Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran Fakulti Pendidikan UKM Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman di tempat ketiga.

Sementara itu, Pro Naib Canselor (Strategi dan Pembangunan Korporat) Prof Datuk Ir Dr Marzuki Mustafa berkata, Hari Inovasi kali kelima yang diadakan ini bagi menyahut cabaran KRA2 dan KRA4 UKM iaitu Penyelidikan Inovasi Berimpak Tinggi dan Sumber Manusia dan Institusi Cemerlang.

“Tema kali ini Amalan Inovasi ke arah Pendidikan Berteraskan 4IR (4th Industrial Revolution) adalah selari dengan perkembangan era pada masa kini iaitu revolusi industri keempat.

“Revolusi 4.0 ini mempunyai cabaran yang lebih hebat apabila pembabitan manusia semakin mengecil selepas digantikan dengan robot dan Artificial Intelligence dan Internet of all Things,” katanya pada majlis perasmian berkenaan di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, UKM, di sini, semalam.

Hadir sama, Dekan Fakulti Pendidikan Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 6:10am
d