mutakhir

Malaysia, Qatar meterai 4 MoU [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Mohd Husni Mohd Noor

EMPAT memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Malaysia dan Qatar hari ini, masing-masing membabitkan bidang latihan untuk diplomat, pendidikan tinggi serta kerjasama dalam aktiviti perundangan dan kehakiman.

Majlis bersejarah itu disaksikan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Protokol, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

MoU dalam bidang latihan ditandatangani antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Luar Negeri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani.

MoU berkaitan kerjasama bidang pendidikan tinggi pula ditandatangani antara Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani dan Anifah manakala MoU berkaitan kerjasama perundangan ditandatangani antara Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

MoU terakhir iaitu berkaitan bidang kehakiman ditandatangani antara Presiden Majlis Kehakiman Tertinggi Qatar Masoud Mohamed A Amiri dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Terdahulu, Najib dan Sheikh Tamim menghadiri mesyuarat terhad dan mesyuarat delegasi secara tertutup.

Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang menaiki takhta pada 25 Jun 2013 sebagai Emir Qatar kelapan tiba semalam untuk melakukan lawatan sulung selama dua hari ke negara ini.

Lawatan itu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan ia adalah lawatan pertama baginda sejak lawatan negara terakhir yang dilakukan ayahandanya Sheikh Hamad Khalifa Al Thani pada Mei 2009.

Baginda turut diberi sambutan negara di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada sebelah pagi.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 3:35pm
d