mutakhir

Boleh tuntut bayaran balik

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

KERAJAAN akan memutuskan satu mekanisme bagi membolehkan semua pesawah yang membeli benih padi sah tanpa harga subsidi untuk diberikan bayaran balik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, perkara berkenaan susulan beberapa laporan media dan aduan pesawah mengenai isu harga dan bekalan benih padi sah bersubsidi yang timbul baru-baru ini.

Menurutnya, mekanisme berkenaan akan diputuskan oleh kerajaan dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Justeru, semua pesawah boleh menghubungi pengeluar benih padi sah yang dilantik kementerian serta menghubungi agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) untuk mengesahkan tuntutan pembelian masing-masing.

"Sekiranya tuntutan itu teratur, ia akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Pada 21 Oktober lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah Datuk Suraya Yaacob dilaporkan berkata, wujud pihak yang mengambil kesempatan menjual benih padi bersubsidi kepada petani dengan harga tinggi.

Beliau berkata, hasil maklumat diterima pihaknya mendapati ada pekedai kecil dan ejen yang sengaja menjual benih padi bersubsidi untuk mengaut keuntungan lebih.

Dalam pada itu, Ismail berkata, satu perjumpaan khas diadakan antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan semua pengeluar benih padi sah pada 23 Oktober lalu dan beberapa persetujuan serta keputusan sudah dicapai.

"Hasil pertemuan itu, semua pengeluar bersetuju untuk bersama membantu bagi memastikan bekalan benih padi sah adalah mencukupi untuk pesawah dan menjual dengan harga disubsidikan.

"Selain itu, kerajaan akan meneliti beberapa cadangan lain untuk menambah baik industri benih padi termasuk cadangan mendaftar dan melesenkan semua ejen atau pengedar benih padi sah serta cadangan penetapan harga siling benih padi di peringkat pengedar," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk tahun ini, sejumlah RM75 juta diperuntukkan di bawah Skim Insentif Benih Padi Sah (IBPS) yang memberikan subsidi sebanyak RM20.60 untuk setiap beg benih dijual oleh pengilang.

Katanya, dengan subsidi itu, harga siling jualan di pintu kilang ditetapkan pada RM28 setiap beg berbanding kos pengeluaran RM48.60 setiap beg.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 6:21pm
d