mutakhir

Peragut 14 rekod jenayah

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

LELAKI yang mempunyai 14 rekod jenayah ditahan selepas meragut rantai leher emas wanita berhampiran tapak pasar malam di PJS Medan 10, Taman Medan, Petaling Jaya, semalam.

Peragut berusia 28 tahun itu ditahan polis yang kebetulan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Pasar Teman Medan Baru, pada jam 5.50 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek meragut rantai leher emas yang dipakai seorang wanita dan berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan lelaki itu jatuh di tepi jalan.

"Anggota polis yang berada berhampiran lokasi berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang ramai dan dia menyerahkan rantai emas yang diragut.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod samun, masing-masing dua rekod dadah dan ragut serta satu rekod curi di sekitar Petaling Jaya. Polis turut merampas motosikal, topi keledar dan jaket yang digunakan suspek," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 26, 2017 @ 9:28pm
d