arena

Alli pacu Spurs ke tahap lebih tinggi

Oleh AFP

LONDON: Dele Alli menyanjung kemenangan 3-1 menakjubkan Tottenham Hotspur ke atas penyandang juara Liga Juara-Juara, Real Madrid yang memberi isyarat kelab Inggeris itu sudah bersedia bersaing dengan gergasi Eropah.

Pemain tengah England itu meledak dua kali di setiap babak, dan Christian Eriksen turut menemui jaringan dalam aksi di Wembley pagi tadi ketika Spurs menundukkan juara Eropah 12 kali berkenaan.

Kemenangan itu melayakkan Spurs ke pusingan kalah mati dengan dua perlawanan berbaki dan skuad kendalian Mauricio Pochettino kini tiga mata di depan Madrid, di puncak Kumpulan H.

“Ia adalah persembahan menakjubkan,” kata Alli. “Kami tahu jika kami berpegang kepada perancangan permainan dan mantap di bahagian pertahanan, kami mempunyai peluang.

“Kami gembira dengan keputusan ini. Kami tidak mahu hanya bersaing dengan pasukan utama ini - kami mahu menewaskan mereka. Saya gembira dapat menjaringkan dua gol, tetapi lebih penting ialah kemenangan.”

Pochettino senada dengan Alli dan berkata, keputusan itu akan melonjak keyakinan pemain di dalam skuadnya.

“Saya bangga dengan pemain saya dan tahniah buat mereka. Saya gembira untuk Dele dan penyokong kami,” kata bekas pemain pertahanan Argentina itu.

“Kemenangan ini penting buat kami dan pemain. Ia adalah kemenangan ke atas Real dan ia cukup hebat buat kelab dan peminat.

“Perjalanan masih jauh musim ini. Apa yang penting ialah cuba untuk mencapai sasaran dan cabaran kami.

“Sudah tentu kemenangan ini memberikan keyakinan dan kepercayaan lebih tinggi bagi setiap orang. Kami kini di pusingan seterusnya kempen Liga Juara-Juara.”

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 10:06am
d