mutakhir

Kan dah ke 'dalam'...

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BURUH dipenjara setahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan mencabul anak perempuan rakannya, bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Fariff Abd Rahman, 31, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Oktober 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh badan remaja perempuan berusia 16 tahun di rumah di Kampung Padang Lembek, Ketereh di sini pada 8.30 malam, 27 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu menyara keluarganya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius.

"Tertuduh melakukan kesalahan itu ketika ibu bapa mangsa tiada. Oleh itu saya mohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh ," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 3:35pm
d