utama

Dua nama wajib

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim menegaskan Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia wajib berada dalam skuad Piala Thomas 2018.

Menurut juara Seluruh England 2003 itu, juara remaja Asia dan naib juara remaja dunia, Leong Jun Hao juga boleh dipertimbangkan walaupun baru berusia 18 tahun selain membayangkan pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli boleh melengkapkan senarai pemain perseorangan yang akan akan menggalas cabaran negara dalam kejohanan berprestij itu.

“Itu saja pemain perseorangan lelaki yang kita ada dan saya masih lagi bersetuju Chong Wei disenaraikan kerana dia perlu berada dalam pasukan sedangkan kita tidak perlu lagi mengharapkan dia (atas faktor usia),” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Hafiz, dalam keadaan sekarang pemain perseorangan lelaki negara berada dalam keadaan kritikal dan tetap mengharapkan Chong Wei walaupun sudah di penghujung karier.

“Chong Wei sudah berada di hujung karier, kita tidak perlu fokus kepada dia lagi dan mengharapkan pemain muda namun keadaan sebaliknya sekarang.

“Zii Jia pula menunjukkan peningkatan dan saya harap dia tidak terpengaruh dengan pemain senior (yang kurang menunjukkan peningkatan). Dia (Zii Jia) nampak betul-betul bagus kerana sudah banyak mara ke peringkat separuh akhir (kejohanan bertaraf Grand Prix Emas).

“Ia satu peningkatan walaupun dia masih baru dalam skuad perseorangan lelaki. Pemain lain yang sudah lama beraksi harus jadi juara, jadi saya harap dia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi pula kena juara, jangan hanya setakat separuh akhir saja,” katanya.

Sementara itu, Hafiz mengakui bahawa Jun Hao boleh diletakkan sebagai perseorangan keempat (simpanan) dan menyokong penuh kehadiran tonggak muda, sekali gus mengimbau kembali ketika zaman beliau menjadi pemain sebelum ini.

“Di zaman saya sebelum ini, pemain muda sentiasa diberi peluang dan saya masih ingat lagi ketika berusia 19 tahun diberi peluang mewakili skuad negara di Piala Thomas 2002 ketika menumpaskan China dalam perlawanan separuh akhir. Kejohanan ini tekanannya sangat tinggi, jadi pemain muda akan mempertingkatkan permainan mereka selepas beraksi di Piala Thomas.

“Selain melihat pada ranking ketika itu, pemilihan pemain juga boleh dinilai ketika pusingan kelayakan jika kita menurunkan skuad muda,” kata Hafiz.

Mengenai Zulfadli, beliau berkata juara remaja dunia 2011 itu mungkin boleh dipertimbangkan walaupun dari aspek kecergasan kurang memberansangkan kerana Piala Thomas tidak sama seperti kejohanan terbuka atau individu.

“Jika Zulfadli disenaraikan, dia bolah diberi peluang beraksi secara bergilir dan boleh merehatkannya selepas kecergasan dia kurang memberangsangkan atau mentalnya lemah. Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chong Wei Feng juga boleh disenaraikan memandangkan dia mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 4:26am
d