mutakhir

Denda biar kanak-kanak masuk pusat karaoke [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

LELAKI pemilik pusat hiburan keluarga didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini atas kesalahan melanggar syarat lesen pusat hiburan dengan membenarkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun memasuki premis.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Neo Ah Kwang, 62, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan pusat hiburan karaoke terbuka dengan melanggar syarat lesen iaitu membenarkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun masuk ke dalam premis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis No A3 Jalan Kebarung 1, Taman Bandar Baru Mergong pada 1.20 pagi, 3 September lalu, mengikut Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Nuradzwan Rodzi.

Terdahulu, peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan tertuduh sudah insaf selain menghidap penyakit cakera teranjak.

Katanya pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah, namun Ruslan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 8:04pm
d