arena

Fitri 'timba ilmu' di Oman

Oleh Saiful Affendy Sapran

HASRAT Fitri Saari untuk beraksi di Liga Hoki Oman bersama kelab Al Seeb akhirnya menjadi kenyataan selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberi lampu hijau kepadanya sekali gus menyaksikannya bakal meraih pengalaman kali pertama beraksi di liga luar.

Pemain tengah skuad negara itu yang mendapat surat pelepasan berkenaan hari ini berkata, sebelum ini dia sememangnya sering mendapat tawaran beraksi di liga luar, namun terpaksa menolaknya berikutan beberapa kekangan.

“Setiap tahun memang saya ada mendapat tawaran beraksi di luar. Antaranya di liga Belgium, Belanda dan Jerman.

“Tapi saya terpaksa menolaknya sebab terbabit dengan pelbagai komitmen termasuk sibuk dengan pelajaran di Universiti Malaya (UM).

“Saya tak mahu menangguhkan pelajaran terlalu lama. Kali ini tawaran yang hadir tepat pada masanya kerana saya sudah hampir habis belajar di UM.

“Lagipun skuad kebangsaan tidak mempunyai apa-apa kejohanan besar untuk tempoh terdekat. Jadi saya fikir inilah masa terbaik untuk beraksi di luar,” katanya yang bercadang untuk berlepas ke Oman 26 November ini.

Jelas Fitri lagi, dengan beraksi di Oman bersama Al Seeb selama hampir sebulan, dia berharap dapat mengekalkan tahap kecergasan untuk menghadapi Liga Hoki Malaysia (LHM) pada Januari.

“Walaupun tahap liga di sana lebih rendah berbanding di Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya saya akan memperoleh pengalaman kali pertama beraksi pada saingan liga di luar negara,” katanya.

Akhbar melaporkan Fitri sedang menunggu jawapan daripada MHC hari ini sama ada mendapat pelepasan untuk beraksi di Oman.

Selain Fitri, beberapa lagi pemain negara turut beraksi di Oman, antaranya abang Fitri sendiri yang juga penyerang utama skuad negara, Faizal Saari yang beraksi bersama Sohar Hockey Club.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:22pm
d