mutakhir

11 kenderaan 'menggelunsur' masuk longkang

Oleh Norizuan Shamsuddin

SEBELAS kenderaan mengalami kerosakan selepas tergelunsur ke dalam longkang akibat mendapan tanah di Jalan LP 1A/2, Taman Lestari Perdana, Serdang, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada jam 6.20 petang.

Katanya, lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikerahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.

"Setibanya di lokasi anggota mendapati tanah mendap berlaku berhampiran longkang besar mengakibatkan 11 kenderaan pelbagai model ‘menggelunsur’ ke bawah.

"Siasatan awal mendapati kejadian tidak membabitkan mangsa dan tidak menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan.

"Tindakan diambil dengan menutup kawasan kejadian kepada orang awam dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi tindakan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 10:39pm
d