mutakhir

Maut langgar papan iklan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG anggota polis maut selepas kereta dinaiki melanggar papan iklan di Jalan Gembira OUG, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi, mangsa, Nick Mazuan Shah Jaya Shadilan, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta BMW Z4 yang dipandu seorang lelaki bersama mangsa hilang kawalan sebelum melanggar papan tanda berkenaan.

"Pemandu berusia 35 tahun itu cedera ringan di leher dan kaki sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.

"Mangsa yang maut adalah seorang anggota polis berkhidmat di Balai Polis Travers," katanya.

Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan utama dan mempunyai tiga lorong menghala ke Jalan Klang Lama.

"Keadaan jalan sedikit berbukit dan berselekoh manakala cuaca ketika kejadian adalah baik dengan permukaan jalan yang kering.

"Mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 12:50pm
d