utama

Boleh perbaiki lagi

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) berpuas hati dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 yang diumumkan hari ini, tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki setiap komponen.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, maklumat yang diperoleh melalui pelaporan ini terutama komponen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) dan Indeks Jisim Badan (BMI) boleh digunakan oleh masyarakat dan ibu bapa untuk rujukan.

"Dari segi BMI contohnya, lebih 50,000 murid dikenal pasti obesiti dan itu boleh diperbaiki lagi, tetapi bukan hanya di peringkat sekolah.

"Sebaliknya maklumat yang diperoleh ini boleh digunakan secara keseluruhan termasuk masyarakat dan ibu bapa memandangkan masalah obesiti adalah masalah sosial yang perlu ditangani secara bersama oleh kementerian, masyarakat, badan bukan kerajaan dan sebagainya," katanya pada sidang media mengumumkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 di KPM, Putrajaya, hari ini.

Amin berkata, maklumat dari pelaporan ini juga memberi petunjuk yang baik kepada semua pihak untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Ditanya mengenai tahap kemenjadian murid, Amin berkata, sukar untuk beliau meletakkannya pada tahap tertentu kerana ia tidak boleh dilihat secara umum.

"Tidak adil untuk kita melihat secara keseluruhan tetapi kita perlu lihat murid itu secara individu memandangkan mereka mempunyai keunikan tersendiri.

"Ia bukan seperti akademik yang kita boleh purata pencapaiannya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua data yang diperoleh akan dianalisis sewajarnya untuk melihat perkembangan murid secara menyeluruh.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 10:59am
d