mutakhir

Dadah dalam minuman teh

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS merampas 40 botol minuman ringan perasa teh mengandungi dadah bersama pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Taman Shamelin, Cheras pada 4.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Cheras dengan diketuai Ketua Polis Balai, Asisten Superintendan Mohd Roslin Mamat.

Menurutnya, ketika diserbu, mereka menemui seorang lelaki di dalam bilik berkenaan bersama 40 botol minuman ringan yang mengandungi dadah disyaki methamphethamine dan amphethamine.

"Turut ditemui 2.3 kilogram serbuk dadah bercampur methamphetamine dan amphetamine, ketamin seberat 82.7 gram, methamphetamine seberat 33.6 gram dan 235 biji pil Ecstasy seberat 68.8 gram.

"Siasatan lanjut ke atas suspek mendapati dia positif methamphetamine," katanya.

Mohd Roslin berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 7:03pm
d