arena

Misbun belum dapat 'mimpi' [METROTV]

Oleh Helmi Talkah

KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek masih belum ada bayangan mengenai pemain yang akan disenaraikan bagi menggalas cabaran pada Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Kecuali Datuk Lee Chong Wei yang pasti berada dalam skuad negara, Misbun memaklumkan beliau masih lagi membuat penilaian ke atas semua pemain sebelum keputusan muktamad dibuat selewat-lewatnya awal Januari depan.

“Buat masa sekarang saya belum nampak lagi, tetapi beberapa gambaran itu sudah ada. Selepas lima bulan kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya lihat ada beberapa aspek kelebihan dan kekurangan dalam pasukan kita.

“Apa yang saya cuba mahu lakukan adalah mendapatkan kombinasi terbaik. Walaupun rata-rata pemain kita masih muda, namun saya tidak kisah mengenai hal itu.

“Apa yang lebih penting ialah sama ada mereka sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu atau sebaliknya,” kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Nama seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing serta dua pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli dan Chong Wei Feng antara yang dikatakan dalam penilaian Misbun.

Mengulas lanjut, Misbun memaklumkan beliau mengamalkan sikap terbuka dalam memilih pemain termasuk mempertimbangkan pemain luar untuk disenaraikan.

“Seperti yang diamalkan sebelum ini, sikap keterbukaan itu sentiasa ada. Namun, saya mahu pastikan pemain luar yang kita jemput benar-benar mahu memikul tanggungjawab untuk pasukan.

“Kalau kita ambil pemain luar dan mereka hanya mahu bermain tanpa hadir menjalani latihan, itu pun susah juga. Lebih baik kita senarai pemain kita yang tentu kalah tetapi kita bertanggungjawab,” kata Misbun.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 8:18pm
d