arena

'Maafkan saya pengadil keempat'

Oleh AFP

LONDON: Antonio Conte memohon maaf selepas pengurus Chelsea itu diarahkan ke tempat duduk penonton kerana berang dengan pegawai perlawanan ketika skuad bimbingannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Swansea.

Conte berang dengan Swansea yang sengaja melengahkan masa pada separuh masa pertama di Stamford Bridge dan kekecewaannya itu semakin memuncak selepas pengadil Neil Swarbrick tidak memberikan sepakan penjuru kepada Chelsea.

Pengendali dari Itali itu mengadu insiden berkenaan kepada pengadil keempat, Lee Mason, namun beliau akhirnya diarahkan untuk ke tempat duduk penonton.

Conte pada mulanya duduk di belakang tempat duduk pemain Chelsea tetapi kemudiannya menyaksikan perlawanan babak kedua di kaca televisyen di bilik persalinan sebelum meminta maaf kepada Swarbrick dan Mason.

“Adalah perkara yang tepat untuk memohon maaf dengan apa yang berlaku ketika perlawanan tadi.

“Saya memohon maaf kepada kedua-duanya,” katanya.

“Pada separuh masa pertama saya menyaksikan Swansea sengaja melengahkan masa. Saya beritahu perkara ini beberapa kali kepada pengadil keempat.

“Saya tidak nampak sebarang perubahan selepas itu dan berasa kecewa.

“Saya cuba beritahu kepadanya lagi dan kemudian pengadil membuat keputusan.

“Benar, saya melakukan kesilapan dan amat kecewa. Atas sebab itu pengadil keempat juga hilang kesabaran.

“Kesilapan dipihak saya, bukan pengadil keempat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 11:55am
d