mutakhir

54 bayi Maulidur Rasul

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BAYI yang dilahirkan di Terengganu bermula 2018 bakal memperoleh insentif RM300.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata insentif RM200 diberikan kerajaan pusat melalui Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050.

Katanya, baki RM100 akan diberikan melalui program sedia ada kerajaan negeri iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Melalui insentif ini, katanya, ia dapat menggalakkan kelahiran memandangkan kelahiran bayi di Terengganu mengalami penurunan.

Menurutnya, Terengganu kini merekodkan 19,000 kelahiran setahun berbanding 24,000 sebelum ini.

Menurutnya, apabila murid tahun satu berkurang, ia akan mendatangkan banyak implikasi seperti sekolah mempunyai kurang murid dan kuasa membeli pada masa akan datang juga menurun.

“Kita tidak dapat menjadi negeri yang maju jika mempunyai penduduk sebegitu,” katanya.

Lima puluh empat bayi di Terengganu selamat dilahirkan sempena Maulidur Rasul.

Daripada jumlah itu, 15 bayi lelaki dan 22 perempuan dilahirkan di Kuala Terengganu.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 11:44pm
d