vroom

Himpunan Scomadi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pelbagai kreativiti dan keunikan ditampilkan pemilik skuter Scomadi dapat dilihat dalam acara ‘Best Of Scomadi (B.O.S) 2.0’ yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Acara dianjurkan Kelab Scomadi Johor menerima 150 penyertaan dari Semenanjung dan Singapura.

Acara dilangsungkan bermula jam 12 tengah hari sehingga 7 malam di Kilang Bateri, Kawasan Perindustrian Tampoi, ternyata mendapat sambutan memberangsangkan dengan dikunjungi lebih 2,000 peminat skuter.

Malah, Scomadi turut melancarkan model terbaru Scomadi TT125i yang dirasmikan Pengarah Urusan Motor Legends Enterprise Sdn Bhd, Ronnie Chen.

Wakil penganjur, Hayrul Izwan berkata, B.O.S 2.0 adalah acara tahunan khas untuk semua pemilik skuter Scomadi dan program kedua dianjurkan pihaknya.

Menurutnya, sebanyak 10 kategori dipertandingkan termasuk King Of Scomadi 2.0.

“Acara kedua ini lebih meriah dan mendapat sambutan menggalakkan berbanding tahun lalu apabila seramai 150 pemilik skuter Scomadi dengan kreativiti tersendiri menyertainya.

“Sebanyak 10 kategori dipertandingkan dan kemuncaknya, ahli kelab Scomadness KL, Amir Baharuddin dinobatkan sebagai King Of Scomadi 2.0 pada kali ini,” katanya.

Katanya, motif dan misi utama penganjuran bertujuan memupuk ukhuwah dan silaturahim antara pemilik skuter selain bertukar pendapat untuk menaikkan ‘seri’ skuter masing-masing.

“Kami kini merangka untuk mengadakan B.O.S 3.0 di Kuala Lumpur dan membuka penyertaan kepada pemilik Scomadi dari negara jiran,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2017 @ 12:34am
d