mutakhir

Jangka dapat zakat RM300 juta

Oleh Aizat Sharif

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan kutipan zakat keseluruhan RM300 juta bagi tahun depan susulan kerjasama dijalinkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Zakaria Othman berkata, sasaran itu realistik berikutan kerjasama terbabit dijangka menyumbang peningkatan hampir 100 peratus berbanding kutipan sekarang, RM165 juta.

"Melalui kerjasama yang diwujudkan ini, ia membolehkan orang ramai yang ingin membayar cukai pintu atau segala urusan percukaian PBT seperti Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) boleh melunaskan sekali zakat di kaunter mereka.

"Kita akan melatih kakitangan PBT untuk membimbing orang ramai mengenai kiraan bagi bayaran zakat.

"Selain memudahkan urusan pembayaran zakat, ia juga menjimatkan tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ejen Kutipan Cukai Taksiran dan Kutipan Zakat antara MBAS dan LZNK di Menara MBAS, Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, Zakaria mewakili LZNK menandatangani memorandum persefahaman dengan Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad yang mewakili MBAS bagi melantik ejen kutipan cukai taksiran dan kutipan zakat.

Zakaria berkata, kerjasama dengan MBAS yang bermula awal tahun depan adalah projek perintis sebelum ia diperluaskan kepada semua PBT di seluruh Kedah.

"Buat permulaan, kita menjalankan dulu projek perintis bersama MBAS yang akan bermula pada Januari depan.

“Selepas itu, kita jangkakan akan meluaskan kerjasama ini kepada semua PBT di Kedah menjelang pertengahan tahun hadapan," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 1:14pm
d