AKADEMI Mokhtar Dahari (AMD) membanggakan bola sepak negara apabila tiga pasukan, AMD Malaysia Cougars Bawah 12 tahun, B-13 dan B-14 layak ke perlawanan akhir Piala SuperMokh, esok.
Dalam saingan B-12, AMD Malaysia Cougars menyingkirkan akademi kelab Jepun, Kashima Antlers 2-1 manakala AMD Malaysia Cougars B-13 dan B-14 menyingkirkan akademi kelab gergasi dunia, Paris Saint-Germain (PSG).
Skuad B-13 negara mengatasi PSG 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar, manakala pasukan B-14 kendalian Ahmad Nurfaizal Abdullah menang tipis 1-0.
Pada final esok, juara bertahan B-12 yang juga akademi kelab Portugal, Sporting CP bakal menjadi lawan terakhir AMD Malaysia Cougars, manakala B-13 dijadualkan menentang AZ Alkmaar dari Belanda.
Dalam saingan B-14, anak buah Ahmad Nurfaizal menggalas dua misi berbeza iaitu membalas dendam kekalahan 2-1 dalam saingan peringkat kumpulan dan merealisasikan impian mempertahankan kejuaraan apabila turun menentang akademi Arsenal.
“Puas hati kerana pemain beraksi seperti yang dirancang iaitu memberi tekanan di babak pertama sehingga mengganggu pasukan lawan. Pada babak kedua, kita paksa mereka buat hantaran jauh dan selepas itu kita berjaya memenangi bola.
“Saya akan lihat keadaan pemain terlebih dulu. Semua pasukan mahu menang dan kita juga sedang menuju ke arah itu (mempertahankan kejuaraan). Apa yang penting pemain semakin meningkat dan kekal konsisten,” kata Ahmad Nurfaizal.
KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR
Bawah 12
Sporting CP 1-0 Aspire Academy
AMD Malaysia Cougars 2-1 Kashima Antlers
Bawah 13
PSG 1-1 AMD Malaysia Cougars
(AMD Malaysia Cougars menang penalti 4-2)
AZ Alkmaar 1-0 Buriram United
Bawah 14
PSG 0-1 AMD Malaysia Cougars
Arsenal 1-0 Foolad Sepahan