vroom

Lancar 10 model tahun depan

Oleh Mohd Razlan Salleh

Selepas mencatatkan peningkatan memberangsangkan sepanjang tahun ini, Boon Siew Honda (BSH) komited untuk mengekalkan momentum jualan ke tahun hadapan.

Sehingga bulan lalu, BSH mencatatkan jualan sekitar 113,000 unit, 18 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama sebelumnya. Sudah pasti peningkatan itu adalah sumbangan daripada model moped paling berkuasa RS150R.

Timbalan Pengerusi yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata, RS150R menyumbangkan 25 peratus jualan manakala bakinya adalah daripada pelbagai rangkaian model lain termasuk skuter.

“Tahun hadapan (2018) adalah tahun penting bagi BSH untuk mengambil langkah besar dan berusaha menerajui pasaran motosikal tempatan.

“Oleh itu, BSH menyasarkan untuk memperkenalkan 10 model baru termasuk barisan Honda BigWing,” katanya pada Majlis Akhir Tahun BSH Bersama Media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata, selain dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelumba pasukan Musashi Boon Siew Honda, Zaqhwan Zaidi dan pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi.

Terdahulu pada majlis itu, pengamal media berpeluang menguji jentera RC213V-S, model sama digunakan juara MotoGP, Marc Marquez dan rakan sepasukannya, Dani Pedrosa.

Tan berkata, antara model bakal diperkenalkan ialah yang terbaru dan dipertingkatkan.

“Daripada 10 model ini, tiga adalah model serba baru merangkumi segmen skuter dan cub.

“Kita juga menjangkakan penguasaan pasaran BSH meningkat kepada 30 peratus pada tahun depan,” katanya.

Menurut Tan, BSH berjaya menjual lebih 400 unit motosikal Honda BigWing bagi tempoh enam bulan dan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan 1,000 unit.

“Kami akan membuka empat lagi pusat jualan dan servis baru bagi BigWing, iaitu dua di Lembah Klang dan satu setiap satu di Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Sementara itu, Nagata mengesahkan Zaqhwan akan menyertai All Japan Road Race Championship (JSB1000) pada musim depan.

“BSH mengucapkan tahniah kepada Zaqhwan atas ‘kenaikan pangkat’ ke JSB1000 dan berharap beliau melakukan yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 2:08am
d