vroom

Terhad 40 unit sahaja

Oleh Mohd Razlan Salleh

Sebelum tirai 2017 tutup, Sime Darby Auto Performance (SDAP) memperkenalkan model eksklusif Porsche Macan SportDesign Series dengan pacuan enjin turbo bersesaran 2.0 liter.

Lebih eksklusif lagi, model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak ini hanya dijual 40 unit untuk pasaran tempatan dengan dua warna berbeza.

Didatangkan dengan warna metalik Kelabu Volcano dan Putih Carrara, model ini boleh dikenali melalui jalur pelekat bonet hadapan selain apron yang lebih dinamik di bahagian hadapan dan belakang serta padanan skirt sisi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Artnt Bayer, reka bentuk aerodinamik dengan jalur perak dan garisan merah pada model ini jelas membayangkan karakternya.

“Dengan pelbagai ciri mewah yang didatangkan sebagai ciri standard, jentera ini menawarkan pengalaman pemanduan terbaik.

“Walaupun Porsche Macan adalah SUV, identiti Porsche tetap terserlah dengan rekaannya yang sporty,” katanya.

Porsche Macan SportDesign Series masih mengekalkan enjin turbo bersesaran 2.0L yang menyalurkan 250 kuasa kuda manakala tork maksimum 370Nm.

Nadi berkuasa ini dipadankan bersama kotak gear automatik PDK tujuh kelajuan.

Imej luaran kelihatan lebih maskulin apabila dipadankan bersama rim bersaiz 21 inci dengan dua pilihan rekaan sama ada ‘911 Turbo Wheel’ atau ‘Sport Classic Wheel’.

Ruang kokpit turut diperkemaskan dengan material kulit merah dan hitam, sekali gus menjadikannya tampil berbeza berbanding varian lain.

Sistem hiburan dilengkapi 14 pembesar suara jenama Boss yang mengasyiklan bagai halwa telinga pemandu dan penumpang.

Berharga RM545,000, Porsche Macan SportDesign Series hadir bersama jaminan SDAP selama selama empat tahun.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 2:17am
d