mutakhir

Air naik di 12 kampung

Oleh Recqueal Raimi

HUJAN berterusan sejak 5 petang semalam menyebabkan 12 kampung di Kota Belud terjejas akibat banjir, hari ini.

Kampung terjejas adalah Kampung Donggoi, Kampung Marajah, Kampung Gunding, Kampung Sadok-sadok, Kampung Lingkodon, Kampung Linau, Kampung Lebak Moyoh, Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Menunggui, Kampung Song-song dan Kampung Karang Benai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud, Paulina Francis berkata, sehingga kini, tiada penduduk dipindahkan.

Katanya, hujan berpanjangan sejak 5 petang semalam turut menyebabkan peningkatan paras Sungai Tempasuk dan Sungai Abai sehingga mencecah paras bahaya iaitu 5.54 meter (m).

"Ia menyebabkan semua kawasan rendah di 12 kampung terbabit dinaiki air sehingga 9 pagi, hari ini.

"Pada masa sama, Jalan Kampung Menunggui dan Kampung Linau turut dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan rendah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Paulina, pihaknya masih giat menjalankan pemantauan dan bersiap sedia untuk membantu jika penduduk perlu berpindah.

Katanya, pengguna kenderaan boleh melalui laluan alternatif di Jalan Kampung Piasau-Kampung Tambulion atau Bulatan Lebak Moyoh-Jalan Bypass Kudat.

Disiarkan pada: December 24, 2017 @ 10:39am
d